Lawatan ke DBP
1 November 2023
Kami, pelajar yang mengambil subjek Novel Melayu melawat Dewan Bahasa dan Pustaka di KL sempena Seminar Pemikiran Sasterawan Negara; Siti Zainon Ismail. Jujur kata ini kali pertama jejak di sini. Rasa terpana sebab di sini jua tempat segala imaginasi, idea, karya yang diterbitkan. Oh, daripada gambar itu boleh lihat saya duduk di bahagian hadapan tetapi terlindung sedikit sebab bahagian kiri ada kamera dan rostrum, tapi tidak mengapa.
Kami disajikan dengan pendokumentasian hasil penyelidikan daripada pengkaji-pengkaji perihal pemikiran Sasterawan Negara. Pada masa yang sama, seminar ini berperanan dalam mengetengahkan pemikiran dan falsafah yang bernilai tinggi dalam karya Sasterawan Negara dan memperkasakan kesusasteraan kebangsaan melalui aktiviti wacana dan penghasilan kertas kajian. Itu apa yang tertera dalam buku program yang ahli DBP bagi di kaunter pendaftaran 😬
Melalui seminar yang bertajuk Siti Zainon Ismail: Kembara Seni Berpadu dalam Puisi dan Prosa, banyak karya yang dianalisis oleh para pembentang kertas kajian. Terdapat satu fakta menarik tentang Sasterawan Negara Siti Zainon Ismail (SZI) iaitu beliau sering ibaratkan diri beliau sebagai 'Siti Kecil'. Apa sebabnya? 'Siti Kecil' itu sendiri sifat kanak-kanak yang terkeluar dalam diri beliau kerana inginkan perhatian daripada orang sekeliling. Dengan sifat tersebut, beliau mengarang puisi khas yang bertemakan kanak-kanak; Bjiak Si Katak Bijak dan Angsa Istana Si Jambul Desa. Selain daripada puisi, beliau juga mendalami bidang cerpen dan novel. Antara cerpen yang dihasilkan seperti Rindu Pala Muda, Nyanyian Orang Laut dan Attar Lembah Mawar. Novel karya SZI adalah seperti Delima Ranting Senja, Pulau Renik Ungu dan Rembang Flamboyant.
Watak 'Siti Kecil' itu juga muncul apabila beliau merasakan ada sahabat yang melupakan diri beliau. Namun sebagai orang seni, rasa sedih itu tidak dizahirkan melalui tangisan tetapi diluahkan aksara tersebut melalui bentuk puisi atau lukisan. Saya kurang pasti siapa yang pernah menyebutnya.
Saya mengharapkan dapat kekal dalam majlis ilmu ini sebab begitu banyak pengetahuan baru yang saya peroleh. Tidak kira dari segi kenali karya, genre yang dibawa, topik yang dibincangkan dan lain-lain.
Comments
Post a Comment